‘Daripada makan hati, baik berpisah’

PUTRAJAYA: Hasrat Mimifly untuk melihat hubungannya dengan jejaka keturunan Arab berakhir di jenjang pelamin tidak kesampaian apabila ikatan yang terjalin itu berkecai di pertengahan jalan.

Mimi yang juga anggota kumpulan One Nation Emcees (ONE) berkata, sikap cemburu pemuda yang juga jurulatih peribadinya itu menjadi punca mengapa hubungan mereka tidak kekal lama.

“Sekarang ini, saya sudah kembali single. Bagaimana mana hubungan mahu bertahan kalau belum apa-apa sudah cemburu buta. Baru peringkat kenal hati budi, sudah berani tunjuk sikap cemburu tidak bertempat.

“Daripada terus makan hati, lebih baik berpisah. Tetapi saya akui, ketika kami mula berkenalan dulu, dia tidak tahu saya artis. Selepas itu, cemburunya semakin menjadi-jadi,” kata Mimifly ketika ditemui pada majlis rakaman program Muzik Muzik 33 Raya, baru-baru ini.

Tambah pemilik nama lengkap Shamimi Amalina Norhisham ini, insiden itu membuatkan dia tidak lagi yakin untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Terus-terang, memang susah sebenarnya mencari pengganti bekas suami. Bagi saya, dia lelaki terbaik pernah saya jumpa. Cuma, jodoh kami tidak panjang,” katanya yang baru muncul dengan single, Superfly.

Mimi berkahwin dengan pengurusnya dan ONE, Mohd Firdaus Hajar, pada 16 Mei 2015. Mereka bagaimanapun, berpisah pada hujung tahun lalu.

 

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*